Ramai orang mengeluh kerana puas berdoa tetapi doa mereka tidak dimakbulkan Allah S.W.T. Mengapa berlaku demikian ? Dalam konteks ini mari kita ikuti satu kisah yang menarik berhubung dengan doa seorang hamba yang begitu mudah diperkenankan oleh Allah S.W.T..
Pada suatu masa dahulu Nabi Isa A.S. keluar bersama para pengikutnya kerana ingin memohon kehadrat Ilahi semoga diturunkan hujan. Baginda A.S. Bersabda kepada kaumnya: ” Sesiapa diantara kamu pernah berbuat dosa, pulanglah ke rumah masing-masing ” .
Semua pengikut baginda pun pulang kecuali seorang lelaki buta yang tetap tinggal. Nabi Isa A.S. Bertanya kepadanya : ” Adakah anda tak pernah membuat dosa? ” Orang tua itu menjawab : ” Demi Allah, tidak pernah saya berbuat dosa, kecuali sekali sahaja. Pada waktu itu saya
sedang solat, tiba-tiba pandangan saya tertumpu kepada seorang wanita
muda. Mata saya pun melihatnya ” .
Setelah wanita itu berlalu, saya pun memasukkan telunjuk saya ke dalam kedua-dua belah mata saya untuk mengorek mata saya, kemudian saya pun menyusul wanita itu, lalu menyerahkan kedua-dua biji mata saya yang telah saya korek itu kepadanya ” .
Mendengar demikian, Nabi Isa A.S. Pun berkata kepada lelaki itu : ” Berdoalah kepada Allah S.W.T., saya akan mengaminkan ” . Tidak lama selepas itu, cuaca menjadi gelap gelita dengan awan tebal, lalu sebentar kemudian hujan pun turun.
Menerusi kisah yang tersebut, fahamlah kita bahawa sebab sesuatu doa mudah dimakbulkan Allah S.W.T. Ialah apabila orang yang berdoa bersih daripada dosa dan sentiasa taat kepada perintah Allah S.W.T..
Hal ini sesuai dengan firman Allah S.W.T. Menerusi ayat 186 Surah Al-Baqarah yang bermaksud : ” Apabila bertanya hamba-hamba-Ku mengenai Aku, katakanlah ( wahai Muhammad kepada mereka ) bahawa Aku sangat hampir, Aku memperkenankan doa orang yang berdoa apabila berdoa kepada-Ku. Oleh itu mereka hendaklah menyahut seruan-Ku ( Yakni patuh perintah Allah S.W.T. dan meninggalkan segala larangan-Nya ) serta beriman dengan penuh yakin kepada-Ku... ” .
Kemudian untuk lebih jelas lagi, mari kita ikuti penjelasan Ibrahim Bin Adham, seorang ahli sufi terkenal ketika ditanya orang mengapa doa itu tidak dimakbulkan Allah S.W.T..
Beliau menjawab, ada sepuluh perkara menyebabkan doa itu ditolak :
1. Anda mengenal Allah S.W.T., tetapi anda tidak menunaikan hak-Nya.
2. Anda mengaku cinta kepada Rasulullah S.A.W., tetapi anda meninggalkan sunnah-sunnahnya.
3. Anda membaca Al-Quran Nulkarim, tetapi anda tidak mengamalkan pengajaran daripadanya.
4. Anda telah makan nikmat Allah S.W.T., tetapi anda tidak bersyukur kepada-Nya.
5. Anda berkata syaitan itu musuh anda, tetapi anda tidak menentangnya.
6. Anda berkata syurga itu benar, tetapi anda tidak beramal untuknya.
7. Anda berkata neraka itu benar, tetapi anda tidak lari darinya.
8. Anda telah berkata, bahawa mati itu benar, tetapi anda tidak bersedia untuk menghadapinya.
9. Anda bangun dari tidur, lalu menceritakan keaifan manusia, tetapi anda lupa keaifan diri anda sendiri.
10. Anda kebumikan mayat-mayat, tetapi anda tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari kematian mereka.Dengan penjelasan tersebut, bahawa kita telah dapat mengambil in-put dan kefahaman yang mendalam betapa perlunya kita patuh dengan sungguh-sungguh perintah Allah S.W.T., dan kita jauhi segala larangan-Nya, di samping itu jika kita telah berbuat dosa, maka segeralah kita bertaubat dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T.. Dengan demikian, insya-Allah doa kita akan diperkenankan Allah Azzawajalla. Amin. Wassalam.
No comments:
Post a Comment