“Menilai orang lain melalui hati” mungkin itulah kata-kata yang sesuai untuk menjelaskan tajuk di atas. Bukan mudah menilai orang lain melalui hati. Menilai apa yang tersirat dari pertolongan atau mungkin perlakuan yang ditunjukkan di hadapan kita.
Manusia dianugerahkan mata yang merupakan pancaindera yang utama dalam memberikan pengaruh. Pandangan mata mampu menutup pandangan hati dalam menilai seseorang. Itulah hebatnya mata. Selalunya kita membuat penilaian terhadap seseorang berdasarkan penampilan, tutur kata dan juga personaliti. Kerana kita manusia memang tidak dapat mengenali hati budi orang lain. Sebab itu boleh timbul perkataan seperti berpura-pura dan hipokrit. Kerana menggambarkan bahawa penilaian kita terhadap seseorang hanyalah berdasarkan luaran bukan isi hatinya.
Kita tidak memberikan ruang dalam diri kita untuk kita meneliti seseorang dengan hati kita. Terutama bila seseorang yang sering memberikan pertolongan kepada anda, mengambil berat tentang diri anda maka sudah tentu mata melihat bahawa pertolongan yang diberikan adalah ikhlas. Lebih-lebih lagi jika pertolongan diberikan secara berterusan dan kerap. Tetapi andai dalam waktu yang lain, orang yang pernah memberikan pertolongan itu melakukan kesilapan walaupun sekali, maka sudah tiada lagi kebaikan dalam dirinya. Walaupun mungkin kesilapan itu terlalu kecil.
Tetapi amat berbeza sekiranya seseorang yang pernah melakukan kesilapan dan kesalahan dalam dirinya. Sekalipun dia melakukan pelbagai kebaikan, bahkan dengan ikhlas sekalipun mata tetap akan menilai bahawa dia tetap orang yang salah dan mungkin juga berpura-pura untuk berlaku baik. Itulah fungsi mata yang menilai.
Kita sebagai manusia tidak akan dapat menghalang orang lain dari menilai sedemikian rupa kerana masing-masing mempunyai persepsi yang berlainan. Cuma alangkah baiknya jika kita dapat menilai orang lain melalui hati kita. Dengan erti kata kita melihat apa kebaikan yang pernah wujud dalam dirinya. Bukan dengan cara menafikan kebaikan yang pernah dilakukannya. Kerana jika kita meletakkan persepsi begitu kita sukar untuk memaafkan orang lain. Bahkan kita langsung menutup ruang dan peluang untuk orang mengubah dirinya. Kita semua adalah sama melainkan dalam perkara amal dan taqwa.
sumber dari :Motivasi Untuk Tranformasi Diri
No comments:
Post a Comment