SETIAP manusia mempunyai perjalanan hidup yang berbeza-beza. Ada yang melaluinya dalam suasana yang lancar atau tanpa banyak menghadapi rintangan dan halangan.
Malah tidak ketinggalan juga yang terpaksa mengharungi kehidupan dengan onak dan duri. Itulah namanya lumrah kehidupan, tidak pernah sepi daripada pelbagai cabaran.
Pun begitu, payah atau mudah, semuanya adalah ujian dari Allah s.w.t. yang Maha Mengetahui lagi Maha Memahami. Lantaran itu, sebagai hambanya, kita wajar menjalankan tanggungjawab dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini serta sentiasa mencari keredhaan-Nya.
Kisah perjalanan pengIslaman pendidik di Sekolah Menengah Ungku Aziz, Sabak Bernam, Selangor, Fuziani Abdullah, 33, boleh dikategorikan mudah atau tanpa perlu persediaan lengkap daripada segi mental dan fizikal.
Ini kerana apabila beliau mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam, tidak ada sesiapa pun dalam keluarganya yang menentang secara terang-terangan. Malah akui Fuziani, kemudahan yang Allah kurniakan ini menyebabkan beliau terlepas daripada merasai pengalaman disingkirkan atau dipinggirkan oleh keluarga dan teman.
Apatah lagi, terpaksa mencari tempat perlindungan seperti mengadu nasib di teratak insan yang bergelar keluarga angkat.
``Pun begitu, ini tidak bermakna saya langsung tidak menghadapi masalah sewaktu mula-mula memeluk agama Islam. Dugaan tu sentiasa ada tetapi tidaklah sehebat seperti saudara-saudara baru yang lain, yang kehilangan keluarga dan kawan.
``Dugaan saya lebih kepada mencari dan mendalami agama Islam. Maksud saya dalam pengukuhan keimanan. Di Sabah dengan di Semenanjung ni jauh berbeza. Di sini, bimbingan atau pemantauan berkaitan pendidikan Islam lebih mudah dan banyak disediakan oleh pejabat agama Islam atau persatuan-persatuan berkaitan agama Islam.
``Di Sabah, boleh dikatakan ramai yang memeluk agama Islam tetapi sayangnya, selepas seseorang itu memeluk agama Islam, mereka tidak mendapat bimbingan berterusan. Saya bernasib baik kerana emak saya, Fauziah Abdullah lebih dahulu memeluk agama Islam.
Jadi, saya mendapat banyak tunjuk ajar secara tidak formal,'' cerita Fuziani yang memeluk agama Islam sewaktu berusia 12 tahun. Tambah beliau yang ditemui di rumahnya yang terletak di Taman Aman, Sabak Bernam, baru-baru ini, ilmu tentang Islam lebih banyak diperoleh selepas berhijrah ke Kuala Lumpur dan tinggal menetap dengan keluarga bapa tiri di Kelantan sewaktu di dalam tingkatan tiga.
Apabila mendapat tawaran menyambung pengajian di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dalam bidang Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan, peluang beliau mendalami Islam bertambah cerah. Ini memandangkan teman-teman sepengajian dan sekolej tidak pernah menunjukkan sikap memulaukan beliau.
Semenjak itu, kata Fuziani beliau terus menetap di Semenanjung. Apatah lagi, semasa belajar beliau berkenalan dengan seorang pemuda yang berasal dari Kuala Kangsar, Perak. Atas tunjuk ajar yang banyak diberikan oleh Abdul Samad Jaafar, 35, akhirnya Fuziani yakin teman sepengajian beliau ini mampu membimbing dirinya ke jalan yang lebih diberkati dan diredhai Allah s.w.t.
Pada tahun 1993, Abdul Samad dan Fuziani diijab kabulkan dan sahlah bergelar suami isteri. Kini pasangan bahagia ini dikurniakan tiga orang cahaya mata; Lyana Syahirah, 10, Muhammad Dhiyaulhaq, 8, dan Muhammad Dhiyauzzaky, 3 tahun.
Mengimbau detik awal pengetahuan beliau tentang agama Islam, cerita Fuziani atau nama sebelum Islamnya, Jenny Sabastian Robert, semuanya bermula apabila seorang guru baru ditugaskan mengajar mata pelajaran Agama Islam di sekolahnya, Sekolah Rendah Kebangsaan Bundong, Tuaran, Sabah.
Persoalan
``Waktu itu saya suka berada di kelas ustaz tersebut mendengar apa yang diajarkan olehnya. Salah satu sebabnya, kerana ia satu subjek yang baru bagi kami. Secara tidak langsung, saya ikut dengar dan dalam masa yang sama turut serta membaca surah-surah yang ringkas dan mudah.
``Masa itu langsung tidak terfikir tentang Islam atau akan memeluk agama Islam kerana waktu itu saya beragama Kristian. Yang paling saya tertarik di dalam kelas Ustaz tu ialah apabila dia bercerita tentang kisah-kisah nabi.
``Minat saya kepada Islam beralih apabila banyak persoalan yang saya utarakan kepada paderi kami tidak dapat dijawab olehnya.
Antara yang cuba saya persoalkan ialah tentang pengakuan di dalam agama Kristian, mengapa perlu kepada paderi dan tidak terus kepada tuhan dan banyak lagi,'' katanya berbeza apabila diutarakan kepada Ustaz Abdullah Pardi, banyak kemusykilan yang berserabut di fikiran berjaya dijelaskan dan peliknya apa yang diterangkan diterima akal dan nyata kebenarannya.Tambah Fuziani yang pernah terpilih menjadi Tokoh Saudara Kita daerah Sabak Bernam 2004 ini, di Semenanjung inilah beliau
mengenali erti Islam yang sebenar. Lantaran itu, peluang berada di sini tidak pernah beliau sia-siakan, malah bersyukur banyak ilmu pengetahuan terutamanya berkaitan Islam diperoleh di sini dan seterusnya mengambil keputusan tekad untuk terus menetap di Semenanjung.
``Di samping itu, saya juga bersyukur mempunyai keluarga mentua yang begitu bersikap terbuka dan menerima saya seadanya. Selain suami yang banyak menunjuk ajar tanpa jemu-jemu menerangkan tentang perbezaan antara ajaran Islam dan adat budaya orang Melayu, keluarga suami juga bertindak serupa.
``Kami bertunang dahulu barulah bersanding. Tiga bulan sebelum majlis berlangsung, saya belajar mengaji dengan ibu mentua. Waktu itu, saya baru berjinak-jinak mempelajari budaya orang Melayu, begitu juga dengan ibunya yang kurang pengetahuan tentang cara hidup orang Sabah.
``Alhamdulillah, segala kesulitan dan perbezaan berjaya diatasi berkat kesabaran dan keikhlasan kedua-dua pihak. Bagi saya, penghayatan Islam akan menjadi lebih mudah apabila kita dapat mempraktikkan amal ibadahnya secara ikhlas dan jujur.
``Dalam masa yang sama, kita akan rasa ketenangan dan kemanisan yang ada pada agama Islam itu,'' akui anak tunggal ini.
Sumber: Utusan Malaysia
No comments:
Post a Comment